JASLINDA Saludin yang ditemui selamat selepas hilang 14 hari di Gunung Batu Putih, Tapah memaklumkan mengalami kecederaan di kepala akibat beberapa kali terjatuh selain luka ringan termasuk gigitan serangga.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pendaki wanita berusia 49 tahun itu memberitahu dua kali jatuh pada ketinggian kira-kira lima meter.
‘’ Dia juga maklumkan pernah tiga hari tidak minum air dan cuma bertahan hidup dengan minum air embun sebelum menemukan sumber air dari sungai.
“Dia juga memberitahu bertahan (hidup) dengan memakan tumbuhan liar seperti buah beri yang tumbuh di hutan,” katanya lapor Buletin TV3.
Sabarodzi juga berkata, Jaslinda mengakui berada dalam kawasan pencarian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sebelum ini termasuk di Gunung Rayu dan Bukit Berapit.
‘’ Mungkin ada beberapa perkara yang tak dapat dijelaskan, seperti dia mengatakan tidak mendengar bunyi helikopter dan sebagainya, sedangkan itulah kawasan pencarian kita. Namun Alhamdulillah dia berjaya dan selamat keluar dan pada akhirnya memang dia menyusuri anak sungai sehingga sampai,” katanya.
Beliau berkata, dua penduduk Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh menemui Jaslinda di kawasan sungai ketika mahu memancing dengan wanita itu bertanya arah untuk keluar hutan.
“Jaslinda kemudian dibawa ke rumah Tok Batin serta mendapat layanan amat baik daripada penduduk kampung sementara menunggu ketibaan pasukan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) JBPM,” katanya.
Sabarodzi berkata, operasi SAR mencari Jaslinda memperlihatkan kerjasama yang baik sama ada di peringkat agensi penyelamat dan kerajaan, Malim Gunung Perhutanan (MGP), serta Orang Asli dan komuniti setempat.
“Kita menggerakkan satu koordinasi dan usaha yang amat bersepadu dan baik yang dilaksana berdasarkan perancangan walaupun mangsa bergerak sewaktu sesat.
“Mungkin juga disebabkan mangsa bergerak menyebabkan kita tak dapat menemui beliau,” katanya.


