MENTERI Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Nira, Batu Pahat bagi meninjau pelaksanaan program NADI bersama komuniti setempat.
NADI melalui Facebook berkata, dalam lawatan itu, Fahmi turut meninjau sesi AI Workshop: AI for Smarter Work with Google Workspace & Gemini (Simple Google AI Skills for Everyday Work) yang disertai oleh komuniti setempat.
‘’Program itu memberi pendedahan asas dan praktikal kepada peserta mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) melalui Google Gemini dan Google Workspace dalam memudahkan tugasan harian, termasuk penulisan e mel, penyediaan draf kerja, penjanaan idea serta komunikasi yang lebih pantas dan efisien,’’ kata NADI.
Menurut NADI, sesi itu turut menekankan penggunaan prompt yang lebih tepat bagi membantu peserta memanfaatkan AI dengan lebih yakin dan berkesan.
‘’Selain itu, inisiatif saringan kesihatan NADI menggunakan teknologi digital – AirDoc turut dilaksanakan untuk komuniti setempat bagi memperluaskan akses kepada pemeriksaan kesihatan yang lebih mudah, cepat dan menyeluruh melalui pendekatan digital,’’ kata NADI
Menurut kenyataan itu NADI MCMC sentiasa komited dalam memperkukuh peranan NADI sebagai pusat komuniti digital yang inklusif, dengan sokongan berterusan YB dalam memastikan NADI kekal relevan sebagai platform yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.


