POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mencuri beg milik seorang penuntut universiti ketika mangsa sedang menunaikan solat di Masjid Ar-Rasyidin, Jelatang dekat Alor Gajah, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu tular di media sosial menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang lelaki melarikan sebuah beg dari ruang solat wanita masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 19 tahun sedang menunaikan solat Asar seorang diri di ruang solat wanita masjid berkenaan dan meletakkan beg miliknya di hadapan sejadah.
“Ketika mangsa bangun daripada sujud, dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali memakai baju-T berwarna biru dan berseluar pendek hitam berada di hadapannya.
“Suspek kemudian mengambil beg berkenaan sebelum melarikan diri melalui pintu belakang ruang solat tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, beg yang dilarikan itu mengandungi dokumen penting serta barangan peribadi milik mangsa.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Polis kini sedang mengesan suspek yang terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah atau balai polis berhampiran,” katanya.
Ahmad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Menerusi rakaman CCTV berdurasi 32 saat yang tular itu menunjukkan suspek tergesa-gesa meninggalkan kawasan masjid sambil melarikan beg berwarna coklat milik mangsa.


