MENTER Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau menolak DAP menjadi sebahagian daripada Kerajaan Johor bukan disebabkan sikap sombong atau perkauman.
Sebaliiknya ia berdasarkan kepada prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada rakyat Johor.
“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum di Johor, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi di setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam PRN Johor 2026.
“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan.
Ketika berucap di Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat kelmarin, Onn berkata beliau rela tidak menjadi Menteri Besar Johor daripada bekerjasama dengan DAP.
Kenyataan tegas beliau mendapat kritikan khususnya daripada pemimpin DAP apabila Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke yang mengingatkan Onn Hafiz bahawa pemimpin BN dan DAP sama-sama berada dalam Kabinet Persekutuan.
Bagaimanapun dalam kenyataan hari ini, Onn Hafiz berkata kerajaan pusat dan Kerajaan Negeri Johor ialah dua entiti berbeza.
Katanya, di peringkat pusat BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan selepas PRU15 atas titah Agong ke-16, apabila tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.
“Keadaan itu tidak sama dengan Johor. Di Johor, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat.
“Alhamdulillah, kita telah membentuk kerajaan negeri yang stabil. Kita telah membuktikan prestasi. Dan kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang menggugat kestabilan negeri,” katanya.


