`Kepercayaan sukar dibina semula apabila ia terhakis’ – Ahmad Fadhli

PAS perlu mengambil kira sejauh mana tahap kepercayaan terhadap parti Bersatu dalam membuat keputusan penting dalam masa terdekat susulan beberapa episod yang didakwa menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun hubungan dan kerjasama politik antara kedua-dua parti boleh diteruskan, aspek kepercayaan merupakan perkara yang berbeza dan tidak mudah dipulihkan apabila sudah terhakis.

“Hubungan boleh diteruskan. Kerjasama boleh diperkukuhkan semula. Namun kepercayaan adalah perkara yang berbeza. ‘Trust, once broken, is hard to rebuild’.

“Sebab itulah saya berpandangan bahawa apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Pas dalam masa terdekat pasti akan mengambil kira bukan sahaja keadaan semasa, tetapi juga rentetan peristiwa yang telah menghakis kepercayaan yang diberikan selama ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan hasrat untuk terus mengekalkan hubungan baik dengan Pas dalam PN.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberitahu, beliau tidak meragui keikhlasan Muhyiddin dalam menyatakan pendirian tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli menegaskan, hubungan politik yang dibina atas nama persefahaman dan kepercayaan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kenyataan yang baik kerana ia juga perlu diukur melalui tindakan yang berlaku ketika berdepan saat-saat yang paling kritikal.

Beliau turut membangkitkan semula isu di Perlis yang menyaksikan Bersatu didakwa menghantar nama calon Menteri Besar daripada parti itu tanpa rundingan terlebih dahulu dengan Pas.

“Jika sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) pun Bersatu boleh menghantar nama calon Menteri Besar daripada parti itu tanpa sebarang rundingan dengan Pas, apakah jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang selepas pilihan raya akan datang?.

“Apakah jaminan bahawa mana-mana keputusan berkaitan calon Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak akan dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional?” soalnya.

Selain itu, Ahmad Fadhli turut mengaitkan isu di Negeri Sembilan yang menurutnya menyaksikan pendirian bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN berubah menerusi keputusan Biro Politik Bersatu tanpa rundingan dengan Pas atau kepimpinan PN yang lain.

Kata beliau, alasan bahawa Setiausaha Agung Pas gagal dihubungi adalah penjelasan yang sukar difahami.

“Apakah keadaan yang begitu mendesak sehingga keputusan yang telah dipersetujui bersama perlu diubah serta-merta? Apakah hambatan yang menyebabkan rundingan tidak boleh dilakukan terlebih dahulu?

“Hakikatnya, kedua-dua episod ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap tahap kepercayaan antara rakan-rakan dalam PN.

“Kepercayaan bukan dibina melalui ucapan. Ia dibina melalui tindakan. Dan apabila kepercayaan itu tergores, proses untuk memulihkannya jauh lebih sukar daripada proses untuk merosakkannya,” ujar beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img