TUJUH individu didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Tumpat hari ini selepas mengaku bersalah merusuh dan mencederakan seorang instruktor atau guru sekolah memandu dalam kejadian di sebuah akademi memandu, bulan lalu.
Kesemua tertuduh, Azli Mamat, 48; Mohd Azaki Mamat, 42; Mohd Khadri Ghani, 52; Ahmad Faizal Juhari, 35; Muhammad Alif Hakimi Abd Hamid, 22; Muhammad Izzat Romli, 25; dan Nor Hasida Mamat, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjadi ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang serta menggunakan kekerasan bagi melaksanakan tujuan bersama kumpulan itu sehingga melakukan kesalahan merusuh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Akademi Memandu SKMS Berangan kira-kira jam 4.30 petang pada 24 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang guru di akademi memandu berkenaan didatangi sembilan individu yang menaiki tiga kenderaan untuk berbincang berhubung dakwaan mangsa mengeluarkan kata-kata yang mengaibkan seorang pelajar perempuan.
Bagaimanapun, perbincangan itu bertukar tegang apabila mangsa berasa takut selepas melihat salah seorang lelaki yang juga bapa saudara pelajar terbabit mengambil sesuatu barang dari dalam kereta.
Mangsa kemudian menutup pintu keretanya sebelum beberapa individu lain menendangnya dari belakang sehingga terjatuh.
Mereka seterusnya memukul mangsa secara beramai-ramai pada bahagian muka dan seluruh badan sehingga menyebabkan kecederaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff manakala semua tertuduh diwakili peguam Shamsul Baharin Abdullah.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya yang bekerja sendiri tidak mempunyai pendapatan tetap, sudah insaf serta memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Kesemua tertuduh dilaporkan membayar denda yang dikenakan mahkamah.


