MCMC beri tempoh 7 hari untuk syarikat telekomunikasi baiki liputan di Kampung Tinagat

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi tempoh tujuh hari bekerja kepada syarikat telekomunikasi yang terlibat untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan bagi mengatasi masalah liputan komunikasi di Kampung Tinagat, Sabah.

Arahan itu dikeluarkan selepas hasil ujian yang dijalankan MCMC mendapati dua daripada tiga lokasi yang diperiksa di kampung berkenaan gagal memenuhi standard mandatori kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan ke Kampung Tinagat diadakan susulan aduan diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta penduduk setempat berhubung masalah kualiti liputan dan perkhidmatan selular di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan turut disertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat, dengan ujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi dijalankan di tiga lokasi yang dikenal pasti.

“Hasil ujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua daripada tiga lokasi yang diuji tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan MCMC.

“Dapatan itu telah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan yang terlibat pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, penyedia perkhidmatan terbabit diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan berhubung dapatan ujian berkenaan.

Menurutnya, notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, MCMC mengarahkan syarikat telekomunikasi berkaitan melaksanakan tindakan segera bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di kawasan terjejas.

“CelcomDigi diarahkan mengambil langkah penambahbaikan liputan rangkaian serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala Maxis diminta menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat,” katanya.

MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan yang diambil oleh penyedia perkhidmatan bagi memastikan masalah yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan dan mutu perkhidmatan komunikasi di kawasan berkenaan dipertingkatkan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img