POLIS menjalankan siasatan berhubung kes dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat 12 Pangsapuri Dwi Aliff Avenue di Johor Bharu semalam, yang mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi kritikal.
Dalam kejadian jam 7.59 pagi itu, kedua-dua mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat atas kompleks kediaman berkenaan ke aras bawah berhampiran kawasan kolam renang pangsapuri.
Kanak-kanak perempuan itu dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala kanak-kanak lelaki sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah.
Beberapa penduduk turut berkongsi detik-detik menyayat hati sebelum tragedi itu berlaku menerusi media sosial.
Seorang penduduk mendakwa dia dan keluarganya berada berhampiran kolam renang ketika terdengar bunyi dentuman kuat.
Menurut penduduk, kanak-kanak perempuan itu dilihat terbaring tidak bergerak selepas terjatuh, sebelum orang ramai menjerit meminta bantuan dan menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Tidak lama kemudian, satu lagi bunyi dentuman kuat dilaporkan kedengaran apabila kanak-kanak lelaki pula ditemui dalam keadaan cedera di lokasi kejadian.
Beberapa penduduk dikatakan bergegas membantu sementara menunggu pasukan kecemasan tiba.
Sementara itu dalam kenyataan beliau, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 8.27 pagi daripada seorang perempuan warga tempatan.
Katanya, bertindak atas maklumat, pada jam 12 tengah hari semalam, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menahan ibu mangsa iaitu wanita warga asing berusia 37 tahun bagi membantu siasatan lanjut.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing didapati negatif daripada sebarang dadah.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya.
Beliau berkata, beberapa saksi di tempat kejadian sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan polis dan tangkapan ke atas ibu mangsa ini akan merungkai punca sebenar kejadian,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian di balai polis berhampiran atau menerusi talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, 07-2212999.
Terdahulu, dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan, dilaporkan terjatuh dari tingkat 12 ke tingkat tujuh bangunan 24 tingkat itu.


