PENGGUNAAN varieti Cili MARDI yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berpotensi menghasilkan antara 20 hingga 30 tan metrik sehektar melalui penggunaan varieti berprestasi tinggi dan amalan agronomi yang disyorkan.
Hasil keluaran varieti ini sekali gus membantu pengusaha meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan serta menyumbang kepada pengukuhan keterjaminan makanan negara.

Keperluan untuk meningkatkan pengeluaran cili tempatan menjadi semakin penting memandangkan kadar Sara Diri (Self-Sufficiency Ratio, SSR) bagi cili negara pada tahun 2024 hanya mencapai 35.8 peratus.
Keadaan ini menunjukkan Malaysia masih bergantung kepada bekalan import bagi memenuhi permintaan domestik, sekali gus menjadikan usaha memperluaskan penggunaan varieti berprestasi tinggi seperti Cili MARDI sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pengeluaran tempatan dan meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Usaha tersebut dilaksanakan menerusi inisiatif peningkatan skala varieti Cili MARDI di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang memberi tumpuan kepada pengembangan penggunaan varieti cili berprestasi tinggi dalam kalangan pengusaha komersial di seluruh negara.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pembangunan sesuatu teknologi hanya akan memberi impak apabila ia dapat diterima pakai dan dimanfaatkan oleh kumpulan sasar.
“MARDI komited memastikan setiap teknologi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
“Apa yang lebih penting bagi MARDI bukan sekadar menghasilkan varieti baharu, tetapi memastikan teknologi yang dibangunkan benar-benar memberi manfaat kepada pengusaha. Apabila pengusaha berjaya meningkatkan hasil dan pendapatan, maka objektif penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI telah berjaya diterjemahkan kepada impak sebenar di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, data semasa menunjukkan negara masih mempunyai ruang yang besar untuk meningkatkan pengeluaran cili tempatan memandangkan kadar sara diri bagi komoditi tersebut masih berada pada tahap yang rendah.
“Justeru, MARDI melihat pengembangan penggunaan varieti Cili MARDI sebagai antara pendekatan yang mampu membantu pengusaha meningkatkan produktiviti, sekali gus menyumbang kepada pengurangan kebergantungan terhadap bekalan import,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif tersebut, MARDI telah memperkenalkan penggunaan varieti Cili MARDI kepada komuniti Kebuniti RT Progresif, Kampung Berangan Enam di Umbai, Melaka bagi tujuan pemindahan teknologi dan penilaian prestasi varieti di lapangan.
Mohamad Zabawi menambah, pelaksanaan projek ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Berangan Enam yang telah mengusahakan aktiviti pertanian sejak tahun 2023 melalui Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di bawah bimbingan RISDA Plantation.
Katanya, bagi projek fertigasi tersebut, dua pengusaha tempatan mengusahakan tanaman Cili MARDI di kawasan seluas 0.8 ekar melibatkan sebanyak 1,000 polibag. Projek ini berfungsi sebagai tapak demonstrasi teknologi dan penilaian prestasi varieti dalam keadaan sebenar di lapangan.
Melalui penggunaan varieti Cili MARDI bersama amalan agronomi yang disyorkan oleh MARDI, projek ini menyasarkan pengeluaran antara 1.8 hingga 2.5 kilogram sepokok atau bersamaan 20 hingga 30 tan metrik sehektar, dengan sasaran peningkatan produktiviti sekurang-kurangnya 10 peratus setahun.
“Selain meningkatkan hasil pengeluaran, inisiatif ini turut memberi penekanan kepada pengukuhan industri pengeluaran benih bagi memastikan bekalan benih yang tulen, berkualiti tinggi dan mencukupi dapat disediakan secara berterusan kepada pengusaha,” jelas beliau.
Berdasarkan kadar sara diri cili negara yang masih berada pada tahap 35.8 peratus, usaha memperluaskan penggunaan Cili MARDI dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran cili tempatan secara mampan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh rantaian bekalan makanan negara melalui penggunaan teknologi pertanian yang inovatif dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, melalui pendekatan penyelidikan, pemindahan teknologi dan pemantauan di lapangan, MARDI komited memastikan inovasi yang dibangunkan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengusaha, malah menyumbang kepada peningkatan pengeluaran makanan negara, pertumbuhan ekonomi sektor agromakanan dan kesejahteraan rakyat.


