WALAUPUN kecerdasan buatan (AI) mampu mempercepatkan pembangunan dan meningkatkan produktiviti, teknologi itu juga berpotensi menjadi alat penjajahan digital yang melebarkan jurang ketidaksamaan global
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun AI menawarkan potensi besar dalam meningkatkan produktiviti, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengubah landskap industri, teknologi itu turut membawa pelbagai risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, perkembangan AI berupaya melebarkan jurang ketidaksamaan, menumpukan kuasa kepada kelompok tertentu serta menyebabkan banyak negara dan masyarakat ketinggalan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang berlaku terlalu pantas.
“AI menggambarkan kedua-dua potensi dan risiko era baharu ini. Ia berpotensi mempercepatkan produktiviti, mentransformasikan industri dan membuka laluan baharu kepada pembangunan.
“Namun, ia juga berisiko melebarkan ketidaksamaan, menumpukan kuasa dan menyebabkan banyak masyarakat bergelut untuk mengejar perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Anwar berkata, masa depan AI tidak seharusnya ditentukan oleh segelintir syarikat swasta atau pihak yang mempunyai pengaruh besar dalam pembangunan teknologi berkenaan.
Sebaliknya, katanya, negara-negara membangun perlu diberi ruang dan suara yang lebih besar dalam merangka peraturan serta kerangka tadbir urus yang akan membentuk masa depan teknologi global.
“Walau sama ada dalam bentuk ‘misi memodenkan’ yang baharu atau ‘penjajahan digital’, kita mesti menolak sebarang manifestasi baharu ‘fasisme teknologi’.
“Negara membangun mesti mempunyai suara yang kukuh dalam membentuk peraturan dan kerangka tadbir urus yang akan mempengaruhi kehidupan berbilion manusia,” katanya.
Beliau berkata, cabaran yang dibawa oleh AI membuktikan isu teknologi tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana negara.
Menurutnya, kerjasama antarabangsa, kepercayaan serta institusi yang mampu menghimpunkan pelbagai kepentingan perlu diperkukuhkan bagi memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat secara adil kepada semua pihak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia dan Jepun perlu terus memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan AI bagi memastikan inovasi yang dibangunkan kekal berteraskan rakyat, inklusif dan tidak meminggirkan negara-negara sedang membangun.






