MALAYSIA dan Jepun mempunyai peluang besar untuk membentuk ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan dan bersepadu dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam sektor semikonduktor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan yang saling melengkapi antara kedua-dua negara dalam bidang teknologi dan pembuatan mampu memperkukuh rantaian bekalan global yang kini berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan.
Menurutnya, Malaysia yang semakin kukuh dalam bidang pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju semikonduktor melengkapi kepakaran Jepun dalam penghasilan bahan, peralatan serta pembuatan berteknologi tinggi.
“Malaysia yang semakin kukuh dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju semikonduktor melengkapi kepimpinan Jepun dalam bahan, peralatan dan pembuatan termaju.
“Bersama-sama, kita mempunyai peluang untuk membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan dan bersepadu ketika rantaian bekalan berdepan tekanan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Anwar berkata, kerjasama erat Malaysia dan Jepun bukan sesuatu yang baharu kerana hubungan itu telah menjadi antara pemangkin utama kepada pembangunan industri negara sejak beberapa dekad lalu.
Menurutnya, ketika Pulau Pinang memulakan transformasi perindustrian pada era 1970-an, syarikat-syarikat Jepun memainkan peranan penting dalam meletakkan asas kepada pembangunan negeri itu sebagai hab elektronik dan semikonduktor utama di Asia.
Katanya, hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara bukan hanya berasaskan pelaburan semata-mata, sebaliknya dibina atas keyakinan, perkongsian strategik dan komitmen terhadap pembangunan jangka panjang.
Dalam sektor tenaga, beliau berkata kerjasama Malaysia dan Jepun juga berupaya membantu negara-negara Asia mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta keselamatan tenaga.
Menurutnya, inisiatif seperti Asia Zero Emission Community (AZEC) membuktikan bahawa agenda kelestarian dan pembangunan ekonomi boleh bergerak seiring.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperluaskan kerjasama dalam ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pembangunan teknologi yang lebih inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.






