Kerajaan pertimbang Afrika, Rusia dan Turkiye sumber baharu bekalan bahan api

KERAJAAN sedang mempertimbangkan Afrika, Rusia dan Turkiye sebagai sumber baharu bekalan bahan api susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Malaysia juga sedang meneliti untuk mengimport minyak mentah dari Amerika Syarikat dan Amerika Selatan, selain produk petroleum bertapis dari Singapura.

Menurut beliau, memandangkan minyak mentah mempunyai kualiti dan ciri berbeza mengikut negara, kilang penapisan minyak di Malaysia perlu mempunyai keupayaan untuk memprosesnya sebelum sebarang keputusan perolehan dibuat.

“Putrajaya perlu menjalankan penilaian teknikal terlebih dahulu sebelum perjanjian bekalan baharu dimuktamadkan.

“Ia bukan sekadar mencari bekalan dari mana-mana sumber. Ia juga melibatkan penentuan sama ada bekalan dari lokasi tertentu sesuai untuk diproses di kemudahan kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, stok bekalan bahan api negara mencukupi sehingga hujung Julai, walaupun berdepan gangguan rantaian bekalan global berterusan serta ketegangan geopolitik.

Katanya, Putrajaya hanya boleh mengesahkan bekalan bahan api sehingga Julai berdasarkan perjanjian sedia ada.

“Kami tidak mahu memasuki perjanjian yang terlalu panjang dan kemudian terikat dengannya sekiranya berlaku perubahan harga minyak,” katanya.

Terdahulu hari ini, Reuters melaporkan niaga hadapan minyak mentah Brent susut ke paras terendah dalam tempoh tujuh minggu iaitu USD91.45 setong.

Menurut Akmal Nasrullah, Petronas dan pembekal minyak lain akan memaklumkan kepada kerajaan sebaik sahaja pengaturan bekalan baharu dimuktamadkan, sambil menambah perkembangan lanjut mengenai keselamatan bekalan bahan api negara dijangka diumumkan sebelum penghujung bulan ini.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dijangka membincangkan perkara itu esok, sebelum kerajaan memberi taklimat kepada media.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img