TINDAKAN segelintir penunggang motosikal melakukan pengubahsuaian ekstrem termasuk menanggalkan sistem brek belakang dan menggantikan tayar motosikal dengan tayar basikal dikesan semakin membimbangkan sehingga mengundang risiko besar kepada keselamatan jalan raya.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 300 motosikal telah disita sepanjang tahun ini kerana melakukan pelbagai pengubahsuaian yang melanggar spesifikasi asal kenderaan.
Beliau berkata, antara kesalahan paling kerap dikesan ialah penggunaan tayar basikal atau dikenali sebagai ‘tayar sotong’, pertukaran enjin tanpa kelulusan JPJ serta pengubahsuaian bahagian swing arm sehingga melebihi spesifikasi yang dibenarkan.

“Malah, kami turut mengesan penunggang yang mengubah atau mematikan sistem Unit Kawalan Enjin (ECU) bagi membolehkan motosikal dipandu pada kelajuan lebih tinggi.
“Yang paling membimbangkan, ada penunggang yang menanggalkan terus brek belakang motosikal mereka. Bayangkan motosikal dipandu laju tanpa sistem brek yang lengkap,” katanya pada sidang media JPJ Ops Ekstrem Lembah Klang, hari ini.
Menurutnya, JPJ memandang serius trend berkenaan memandangkan lebih 60 peratus kemalangan jalan raya di negara ini membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Sehubungan itu, beliau berkata, motosikal yang didapati melakukan pengubahsuaian secara ekstrem bukan sahaja akan dikenakan saman, malah turut disita untuk tindakan lanjut.
Katanya, pendekatan lebih tegas itu diambil selepas pihaknya mendapati aktiviti pengubahsuaian motosikal berbahaya semakin berleluasa.
“Kita dapati ada pemilik sanggup berbelanja sehingga RM9,000 untuk mengubah suai motosikal mereka, iaitu lebih mahal daripada harga asal sesetengah motosikal.
“Justeru, tindakan penyitaan dan pendakwaan akan diteruskan bagi memastikan jalan raya negara bebas daripada motosikal yang diubah suai secara berbahaya,” katanya.
Muhammad Kifli berkata, kebanyakan kes melibatkan golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun, namun terdapat juga kes membabitkan remaja bawah umur.
Beliau berkata, JPJ kini mempergiatkan operasi menerusi pasukan khas penguatkuasaan di seluruh negara termasuk kawasan Lembah Klang bagi membanteras kegiatan pengubahsuaian motosikal ekstrem.
Katanya, tindakan turut akan dikenakan terhadap mana-mana pihak termasuk bengkel motosikal yang didapati menjalankan atau membantu pengubahsuaian motosikal yang menyalahi undang-undang.






