
KETUA Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)< Nurhisham Hussein berkata, 100 hari sejak konflik di Asia Barat berlaku, ia kini sudah menjadi gangguan bekalan global yang berpanjangan.
Katanya, jika 100 hari pertama banyak ditentukan oleh ketidaktentuan harga tenaga dan tekanan kos bahan api, fasa seterusnya mungkin jauh lebih kompleks apabila gangguan rantaian bekalan mula menular lebih mendalam ke dalam sektor pembuatan, sistem makanan dan barangan pengguna harian.
‘’Gelombang pertama krisis ini berkaitan harga tenaga. Gelombang kedua, yang berpotensi lebih besar, melibatkan kekurangan bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan moden, perubatan, pembungkusan dan pertanian.
‘’Plastik, bahan pembungkusan, gentian sintetik dan pelbagai produk industri harian bergantung kepada input berasaskan petroleum. Baja dan pengeluaran pertanian juga sangat bergantung kepada rantaian bekalan petrokimia, begitu juga banyak ubat-ubatan dan peranti perubatan,’’ katanya dalam artikel yang disiarkan oleh Berita Harian.
Bagaimanapun kata Nurhisham pada masa ini, terdapat jurang yang agak tidak selesa.
‘’Ribut sudah kelihatan di kaki langit, tetapi kehidupan harian masih kelihatan normal kerana banyak syarikat masih bergantung kepada inventori sedia ada dan stok penampan. Namun jangan silap – kita sedang memasuki satu krisis yang jarang berlaku, di mana masalah utamanya bukan kekurangan permintaan, tetapi kekurangan fizikal bahan-bahan kritikal.
‘’Ini berbeza daripada krisis yang didorong oleh permintaan seperti Krisis Kewangan Asia 1997 atau Krisis Kewangan Global 2008,’’ katanya
Nurhisham menegaskan, dalam krisis yang berpunca daripada bekalan, kerajaan tidak boleh sekadar berbelanja untuk menyelesaikan masalah.
Kata beliau, rangsangan fiskal tidak dapat serta-merta menggantikan bahan mentah yang tidak lagi tersedia atau yang tertangguh akibat gangguan global.
‘’Walaupun syarikat besar mempunyai sumber dan ruang untuk menyerap gangguan ini, perusahaan mikro dan perusahaan kecil serta sederhana (PMKS) amat terdedah. Apabila inventori mula berkurangan dalam beberapa bulan akan datang, sesetengah sektor mungkin terpaksa menyesuaikan operasi, memperlahankan kitaran pengeluaran dan berdepan margin keuntungan yang semakin kecil, khususnya dalam kalangan PMKS.
‘’Kesannya mungkin tidak muncul serta-merta dalam bentuk pemberhentian pekerja secara besar-besaran, tetapi boleh memberi tekanan secara beransur-ansur terhadap pendapatan, peluang kerja lebih masa dan perbelanjaan isi rumah,’’ tegasnya.






