Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan

DUA anggota tentera maut dipercayai terkena bom ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun dalam kejadian yang berlaku hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua anggota membabitkan seorang lelaki dan wanita meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan, polis menerima maklumat awal berhubung kejadian itu kira-kira jam12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, beliau berkata, maklumat lanjut berhubung kejadian masih dalam siasatan.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Cawangan Komunikasi Strategik (G2) TDM sebentar tadi, insiden berlaku semasa pelaksanaan latihan membaling grenad dalam Latihan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri kira-kira jam 10.57 pagi.

Dua anggota yang terbabit dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

“Kedua-dua anggota mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.

“Kedua-duanya kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Jenazah kedua-dua anggota akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani bedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota terbabit dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurut kenyataan itu lagi, Tentera Darat Malaysia memberi jaminan bahawa aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.

Dalam pada itu, seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kpl Norazmi Abu Bakar dan Allahyarhamah Siti Khadijah Sungip atas pemergian insan tersayang.

ATM mendoakan agar roh kedua-dua anggota dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Ucapan takziah itu turut disampaikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman bersama seluruh warga ATM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img