TINDAKAN seorang pemandu dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan sehingga hilang kawalan dikenal pasti menjadi punca kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 55 saat yang dimuat naik di aplikasi Threads.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Almera dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dan sebuah Honda Civic dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Almera terbabit sedang bergerak dari arah Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Sultan Yahya Petra sebelum berlaku insiden.
“Ketika memasuki simpang ke Jalan Sultan Yahya Petra, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas menekan pedal minyak secara berlebihan.
“Kenderaan itu kemudian terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh sebuah Honda Civic dan pagar di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Katanya, hasil ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ mendapati pemandu Toyota Almera merekodkan bacaan sifar, manakala saringan air kencing juga didapati negatif.
Menurutnya, polis sudah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan kedua-dua pemandu dan mendokumentasikan kerosakan kenderaan.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.






