HARAPAN keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyambut kepulangannya ke rumah hari ini tidak kesampaian apabila pelaksanaan tahanan rumah terhadap beliau ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Anak Najib, Nooryana Najwa meluahkan kekecewaan terhadap perkembangan itu selepas seisi keluarga dikatakan sudah membuat persiapan dan menaruh harapan tinggi untuk kembali bersama bapanya.
Menerusi perkongsian di media sosial malam tadi, Nooryana berkata, keluarganya sejak awal pagi berusaha menghubungi pelbagai pihak bagi memastikan segala urusan berkaitan kepulangan Najib berjalan lancar.
Katanya, mereka pada mulanya dimaklumkan bahawa bayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan oleh UMNO kepada mahkamah sekitar tengah hari, sebelum menerima perintah mahkamah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah bapanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada Tabung Solidariti Datuk Seri Najib, sambil menyifatkan setiap sumbangan, tanpa mengira jumlah, amat bermakna kepada keluarga mereka.
Menurutnya, selepas bayaran berkenaan dibuat, perintah mahkamah itu dibawa ke Penjara Kajang dan keluarga dimaklumkan bahawa pihak penjara akan menguruskan kepulangan Najib.
“Perintah itu kemudian dibawa ke penjara Kajang dan seperti yang kami faham berdasarkan perintah pengampunan bersyarat Tuanku Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bayaran RM50 juta adalah syarat utama untuk (Datuk Seri) Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
“Bayaran RM50 juta itupun sudah dilaksanakan. Kami kemudian dimaklumkan yang pihak penjara akan membawa ayah pulang selepas menerima perintah mahkamah berkenaan,” katanya dalam hantaran itu.
Bagaimanapun, jangkaan keluarga bahawa Najib akan pulang pada petang tadi tidak menjadi kenyataan apabila waktu yang dimaklumkan kepada mereka beberapa kali berubah, daripada jam 5 petang kepada 8.30 malam.
Lebih mengecewakan, Nooryana mendakwa keluarganya turut dimaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha menangguhkan pembebasan bapanya, meskipun mereka pada awalnya yakin perintah mahkamah yang dikeluarkan sudah memadai dari sudut prosedur.
Keputusan AGC untuk menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah itu akhirnya memadamkan harapan keluarga yang sejak pagi menantikan kepulangan Najib.
Nooryana turut mempersoalkan mengapa perkara berkaitan syarat tambahan tidak dimaklumkan lebih awal sekiranya masih terdapat halangan untuk bapanya menjalani baki hukuman di rumah, sedangkan bayaran RM50 juta sudah dibuat.
Beliau menyifatkan perkembangan terbaharu itu mengingatkan keluarganya kepada pengalaman berdepan ketidaktentuan sebelum ini berhubung titah adendum, yang menurutnya turut menyaksikan pelbagai perubahan dan penangguhan.
“Setiap kali kami rasa ayah dah semakin hampir nak balik, ada sahaja halangan baharu. Sampai bila?.
“Kami cuma memohon keadilan, ketelusan. Kami mahu perintah Sultan Ibrahim dihormati dan kedaulatan undang-undang ditegakkan,” katanya.
Dalam luahan menyentuh emosi itu, Nooryana turut menitipkan pesanan kepada bapanya, sambil memberi jaminan bahawa keluarga mereka akan terus berusaha membawa Najib pulang.
“Kepada daddy. Saya tahu awak tidak menonton perkara ini malam ini. Tapi saya harap daddy tahu kami sedang buat segalanya yang kita mampu untuk bawa daddy balik.
“Kami tahu daddy rindu keluarga ini dan kami semua juga rindukan daddy,” katanya.
Terdahulu, UMNO mengesahkan semua proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memenuhi syarat berkaitan pelaksanaan tahanan rumah Najib sudah diselesaikan pagi tadi.
Bagaimanapun, AGC dalam kenyataannya memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah itu wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sementara itu, firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib memaklumkan bekas Perdana Menteri itu masih belum dibebaskan dari Penjara Kajang untuk menjalani tahanan rumah.





