SEORANG pemimpin Pas mengingatkan Bersatu supaya jangan mengambil tindakan yang ‘menang sorak kampung tergadai’ di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang.
Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, ini kerana keputusan Bersatu untuk melawan Pas pada PRN kelak, tidak ubah sebagai pertembungan ‘kabilah’ yang akhirnya menguntungkan pihak lawan.
Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, dalam soal penggunaan logo dan watikah Perikatan Nasional (PN), perihal itu perlu diputuskan Majlis Tertinggi (MT), yang kemudiannya akan ditandatangani Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Suara akar umbi dan hasrat orang Melayu, sebolehnya jangan sampai ‘kabilah’ bertembung. Jika bertembung, yang untung Pakatan Harapan (PH). Menang sorak, kampung tergadai.
“Adapun perihal logo dan watikah, keputusan MT, tandatangan pengerusi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu memutuskan untuk terus kekal dalam PN dan akan bertanding dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan menggunakan logo pakatan itu.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan berkata, sebagai parti pengasas PN, tidak ada sebab untuk Bersatu mengambil pendirian keluar daripada gabungan itu.
Muhyiddin juga dilaporkan berkata, Bersatu sedia untuk berdepan Pas dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan jika jalan musyawarah untuk memulihkan hubungan kedua-dua parti gagal.
Pada masa sama, Mohd Syahir turut mempersoalkan sama ada tindakan Bersatu untuk menentang Pas itu dilakukan kerana parti terbabit mahu menjadi anak tangga kepada PH.
“Melainkan ada pihak yang mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH, seperti yang pernah diusahakan dahulu. Ketika itu, Pas menghalang. Harapnya tidak berulang,” katanya.
Kenyataan Mohd Syahir itu dipercayai merujuk kepada khabar angin sebelum ini bahawa Bersatu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini menafikan dakwaan berkenaan dengan menyifatkan ia fitnah dan rekaan jahat yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi memecahkan perpaduan dalam Bersatu dan PN.
Mohd Syahir berkata, asas rundingan kerusi di Johor dan Negeri Sembilan adalah prinsip penyandang (incumbency) di sesuatu DUN.
Beliau berkata, faktor selebihnya adalah berdasarkan keupayaan sesebuah parti menang di kawasan berkenaan.
“Ukur kekuatan jentera, sokongan rakyat, dan penerimaan calon. Sekali pun hendak berlawan, jangan diajak. Pas sudah 75 tahun berlawan. Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” katanya.






