PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau bukan bersikap sombong seperti yang didakwa, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab kepada institusi Diraja selain memelihara kesejahteraan rakyat Johor.
Menteri Besar Johor itu turut menekankan bahawa beliau tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh bagi menerima pandangan atau bantuan.
Bagaimanapun, Onn Hafiz berkata, beliau mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara.
“Saya mengambil maklum pandangan Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Suka saya ingatkan Perdana Menteri, pelantikan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Sultan Johor. Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi (pada Pilihan Raya Negeri kali ini) adalah satu keputusan yang sukar diterima oleh Perdana Menteri.
“Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip serta mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebaliknya, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Johor membantu melengkapi usaha kementerian-kementerian Persekutuan demi kepentingan rakyat negeri ini.
Beliau memaklumkan setiap tahun, Kerajaan Johor membantu setiap bilik guru dan sekolah walaupun urusan pendidikan berada bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
“Setiap tahun, kerajaan negeri turut membantu setiap Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta kem tentera, walaupun perkara itu berada bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
“Kerajaan negeri juga membantu setiap hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam, walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan,” katanya.
Malah apabila hasil negeri meningkat, beliau berkata, Kerajaan Johor bukan saja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.
“Kami berbuat demikian kerana bagi kerajaan negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat.
“Bukanlah niat saya untuk mengungkit atau berbangga dengan perkara ini. Tetapi saya dengan rendah hati ingin bertanya, dalam perkara apakah yang Kerajaan Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?” katanya.






