ASEAN dan Rusia perlu memperluaskan kerjasama pelbagai hala dalam bidang seperti keselamatan makanan, tenaga, pembuatan termaju, teknologi digital dan pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor-sektor itu menawarkan peluang kerjasama yang signifikan ketika negara anggota ASEAN dan Rusia berusaha untuk mempelbagaikan pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan meneroka jalan baharu untuk pertumbuhan.
Pada masa sama, Anwar juga menekankan bahawa adalah penting bagi negara-negara untuk memperkukuh ketersambungan, memperdalam kepercayaan dan meneruskan kerjasama praktikal.
“ASEAN memahami realiti ini dengan baik selepas muncul sebagai salah satu wilayah ekonomi paling dinamik di dunia dengan kelas menengah yang semakin berkembang, ekonomi digital berkembang pesat dan populasi muda terus memacu pertumbuhan dan inovasi di seluruh rantau berkenaan.
“Walaupun persekitaran global tidak menentu, ASEAN telah menunjukkan daya tahan luar biasa. Rantau ini terus menarik pelaburan, mempertingkatkan integrasi dan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia hari ini.
Forum itu dihadiri oleh lebih 400 pemimpin korporat dan perniagaan dari Rusia serta negara anggota ASEAN.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa ASEAN kekal komited terhadap keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama, dan menekankan bahawa prinsip-prinsip ini telah membolehkan blok itu dengan populasinya kira-kira 700 juta orang untuk memelihara autonomi strategiknya serta memperkukuh Keutamaan ASEAN sebagai kuasa penstabil dalam hal ehwal serantau.
“Walaupun ASEAN dan Rusia masih belum menjadi rakan ekonomi utama antara satu sama lain, potensi bagi libat urus lebih mendalam masih besar,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa kedua-dua kerajaan dan perniagaan beroperasi dalam persekitaran yang semakin tidak sekata, kompetitif dan tidak dapat diramalkan.
“Bagaimanapun, tempoh gangguan turut mewujudkan peluang bagi pembaharuan. Cabaran di hadapan kita bukan sekadar untuk menyesuaikan diri dengan dunia berubah-ubah tetapi untuk membentuknya dengan cara yang menggalakkan kestabilan, daya tahan dan kemakmuran bersama.
“Tidak ada negara tidak kira betapa benar atau kuatnya, boleh berjaya mengharungi cabaran ini secara bersendirian,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa perkongsian ASEAN-Rusia telah berkembang dengan mantap sejak tiga setengah dekad lalu, disokong oleh dialog yang bermakna, libat urus ekonomi yang semakin meningkat dan komitmen bersama terhadap kerjasama saling menguntungkan.
Perdana Menteri kini berada di Kazan, ibu kota dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia bagi lawatan kerja selama dua hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia dari 17 hingga 18 Jun.
Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menyatakan penghargaannya kepada Kerajaan Rusia, Tatarstan dan Majlis Perniagaan Rusia-ASEAN atas penganjuran dan layanan mereka.






