Krisis Pas-Bersatu: Tiada apa hendak diumum, tunggu kenyataan rasmi – Ahmad Fadhli

PAS belum membuat sebarang keputusan untuk diumumkan berhubung perkembangan terkini dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pelbagai isu termasuk perkembangan semasa dalam PN dibincangkan dalam mesyuarat parti hari ini, namun tiada sebarang pengumuman akan dibuat buat masa ini.

“Semua keputusan akan kita umumkan melalui siaran media. Jadi, kita tidak ada apa-apa yang hendak diumumkan daripada mesyuarat ini.

“Kita sentiasa bermesyuarat, bertukar pandangan dan menerima pandangan daripada pelbagai pihak. Tetapi saya minta media menunggu keputusan atau siaran media yang akan kita keluarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pembangkang di ibu negara, petang tadi.

Beliau memberitahu, beberapa lagi pertemuan dalaman akan diadakan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Ahmad Fadhli menegaskan mana-mana pihak mempunyai hak untuk bertanding dalam sistem demokrasi negara.

“Saya sudah tulis dalam Facebook semua pihak boleh bertanding. Dalam negara demokrasi ini, semua pihak boleh bertanding.

“Bagaimanapun, mana-mana pihak yang mahu menggunakan logo PN perlu mendapatkan tandatangan Pengerusi PN seperti yang akan dinamakan dalam surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Itu prosedur biasa,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan berlaku pertembungan sesama parti bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya rundingan atau musyawarah gagal mencapai kata sepakat.

“Dalam negara demokrasi ini, kita bersedia untuk bertembung dengan sesiapa sahaja sekiranya tidak ada rundingan terlebih awal.

“Kalau musyawarah itu gagal, pertembungan mungkin boleh berlaku. Musyawarah itu mungkin berjaya dan mungkin juga gagal.

“Masa masih panjang, tetapi kalau hendak bertanding, semua pihak boleh bertanding,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fadhli turut menolak tanggapan bahawa kenyataannya berhubung hak semua pihak untuk bertanding akan mengeruhkan lagi hubungan antara Pas dan Bersatu.

“Saya tidak rasa ia mengeruhkan keadaan. Kita pernah bertembung dengan pelbagai pihak sebelum ini dan itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui isu berkaitan Bersatu dan PN antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan memandangkan ia membabitkan perkembangan politik semasa.

“Kita sentiasa membincangkan isu-isu semasa kerana ini mesyuarat parti politik, bukan kuliah Maghrib.

“Soal Bersatu, soal PN dan pelbagai isu lain sememangnya dibincangkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut mengesahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempengerusikan mesyuarat petang tadi sebagai sebahagian daripada perbincangan yang berlangsung.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img