Anwar bincang hubungan ASEAN-Rusia, budaya dan isu global dengan media antarabangsa

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pelbagai soalan, daripada kerjasama ASEAN-Rusia dan jaminan bekalan tenaga kepada kesusasteraan Rusia dan krisis kemanusiaan di Gaza, dengan media antarabangsa di luar Forum Perniagaan ASEAN-Rusia di Kazan hari ini.

Fokus utama perbincangan adalah masa depan hubungan ASEAN-Rusia, di mana Anwar menyifatkan potensi kerjasama antara kedua-dua pihak jauh lebih besar daripada tahap penglibatan masa ini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan media antarabangsa selepas Forum Perniagaan ASEAN-Rusia di Kazan hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu, ketika berucap pada forum berkenaan, Perdana Menteri berkata, platform seperti Forum Perniagaan ASEAN-Rusia membantu memupuk pemahaman dan kerjasama yang lebih erat antara dua pihak.

“Potensinya amat besar,” kata beliau sambil menambah bahawa walaupun ASEAN mempunyai hubungan ekonomi yang lama dengan negara rakan seperti Amerika Syarikat, China dan India, kerjasama dengan Rusia masih belum diterokai sepenuhnya.

Anwar memberitahu, kerjasama rapat dapat dijalin dalam bidang jaminan bekalan tenaga, keselamatan siber, pertanian, teknologi digital, penyelidikan saintifik dan pendidikan tinggi.

Beliau turut menekankan perkembangan pesat Tatarstan dalam bidang teknologi, sains, penyelidikan, pendidikan dan pertahanan yang membuka peluang kepada kerjasama dan perkongsian ilmu yang lebih luas antara ASEAN dengan Rusia.

Perdana Menteri juga menyifatkan pertemuan beliau dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin baru-baru ini sebagai produktif, terutamanya dalam perbincangan melibatkan kerjasama ekonomi dan keselamatan tenaga.

Sesi soal jawab itu kemudian menjadi lebih santai apabila wartawan bertanyakan tentang lagu Rusia yang sering dipaparkan dalam akaun Instagram Anwar, termasuk MatushkaZemlya dan Kalinka Malinka.

“Saya suka akan lagu itu, anak-anak saya juga menyukainya, mereka menghafalnya, (tetapi) saya tidak, namun saya menyukai muziknya,” kata beliau yang mengundang senyuman dalam kalangan hadirin.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai lagu Rusia kegemaran, Anwar sebaliknya bercakap tentang penghargaannya terhadap kesusasteraan dan puisi Rusia.

Anwar berkata, beliau telah lama meminati karya penulis Rusia seperti Leo Tolstoy, Anton Chekhov dan Boris Pasternak, serta banyak karya sastera mereka diterjemahkan kepada bahasa Melayu.

Perdana Menteri berkata, pertukaran budaya juga sama pentingnya dengan kerjasama ekonomi dan teknologi dalam memperkukuh hubungan antara negara.

“Budaya, puisi, kesusasteraan penting kerana dengan itu anda akan lebih memahami dan memiliki perasaan kasih sayang terhadap manusia. Jika tidak, kita hanya mempunyai teknologi yang sangat penting, namun ia perlu merangkumi keseluruhan bidang,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar memulakan ucapannya pada forum berkenaan dengan mendeklamasikan sajak daripada penyair terkenal Tatar, Abdullah Tukay.

Sesi tersebut kemudian beralih kepada hal ehwal antarabangsa, termasuk perkembangan semasa melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.

Anwar berkata, beliau telah berhubung dengan beberapa pemimpin termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang kesemuanya menyokong penyelesaian secara aman terhadap ketegangan yang berlaku.

Sesi itu kemudian diakhiri dengan soalan berkaitan Gaza, isu yang sentiasa dibangkitkan oleh Anwar secara lantang.

Menyifatkan situasi kemanusiaan sebagai kegagalan masyarakat antarabangsa, beliau mengkritik perkara yang dilihatnya sebagai berat sebelah dalam penerapan nilai demokrasi dan prinsip hak asasi manusia.

“Anda tidak boleh mempunyai satu sistem yang membenarkan pembunuhan, penyeksaan kanak-kanak dan wanita setiap hari, sedangkan kita hanya duduk tanpa berkata apa-apa,” kata Anwar yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke Kazan, ibu kota Tatarstan, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img