POLIS menahan seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam keadaan rosak teruk sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Kepong, baru-baru ini.
Tindakan pemandu berusia 26 tahun itu dikesan pihak berkuasa selepas satu rakaman video berdurasi kira-kira satu minit memaparkan kenderaan jenis Perodua Aruz berwarna merah berkenaan terbabit dalam kemalangan, tular dalam media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada 6 Jun lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam membabitkan kenderaan yang dipandu seorang lelaki.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas tayar hadapan kanan dan tayar belakang kiri pecah sebelum terbabas serta melanggar pembahagi jalan.
“Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan termasuk bumper, bonet, lampu, fender, rim serta tayar hadapan dan belakang. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu berkenaan bagaimanapun bertindak meneruskan pemanduan dalam keadaan kenderaan yang rosak teruk sehingga mengundang bahaya kepada pengguna lain.
Sikap mencurigakan itu berjaya dikesan oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan sekitar pada jam 1.15 pagi hari yang sama.
“Anggota polis mengesan kenderaan berkenaan dipandu dalam keadaan mencurigakan dan membahayakan pengguna jalan raya di Jalan Kepong sebelum berjaya ditahan di hadapan sebuah premis di Jalan Barat, Jinjang Utara, Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.
Beliau turut mengesahkan video yang tular di media sosial itu adalah video daripada insiden kemalangan yang sama, dan satu laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu selepas kenderaan berkenaan berjaya ditahan.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
“Pihak JSPT Kuala Lumpur meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.






