PGA serbu kilang kayu haram, 5 ditahan babitkan rampasan RM1.69 juta

BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di kilang kayu haram yang dipercayai baru beroperasi sebulan lalu di Kampung Sungai Bayu di Gua Musang, semalam.

Serbuan jam 4 petang dalam Op Taring Wawasan Kelantan itu turut merampas kayu, kenderaan, mesin dan jentera yang dianggarkan bernilai lebih RM1.69 juta.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Jajahan Machang.

“Ketika serbuan, terdapat sebuah lori yang keluar dari kawasan kilang dengan muatan kayu serta beberapa individu yang sedang menjalankan kerja pemprosesan kayu di dalam premis berkenaan.

“Terdapat seorang lelaki membawa jentera berat dengan membawa muatan kayu ke mesin gergaji dan dua lelaki sedang memotong kayu di dalam kilang.

“Pemilik juga gagal mengemukakan lesen kebenaran pengoperasian kilang dari pihak Jabatan Perhutanan dan kilang dipercayai beroperasi secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, hasil semakan Jabatan Perhutanan Jajahan Machang juga mengesahkan kayu-kayu yang berada di kawasan kilang terbabit dipercayai tidak bercukai serta mesin-mesin dan jentera beroperasi secara haram.

Katanya, pemilik kilang terbabit yang juga seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengaku mengendalikan operasi terbabit kira-kira sebulan lalu.

“Menurut wanita terbabit sebelum ini kawasan itu disewakan kepada kenalan suaminya yang juga menjalankan pengoperasian kilang kayu haram.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan kilang menemukan pelbagai peralatan termasuk dua mesin gergaji dan jentera berat serta ribuan kayu pelbagai spesies dan saiz.

“Sebanyak 2,100 batang kayu siap, 307 batang kayu bulat dan lima ‘bundle’ kayu selinap berjaya dirampas. Nilai keseluruhan rampasan termasuk jentera dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM1.69 juta,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, kesemua yang ditahan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Machang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img