BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja bernilai RM480,000 selepas menahan seorang lelaki warga Jordan dan dua wanita di pangkalan haram di Kampung Simpangan di Tumpat semalam.
Dua wanita tempatan yang ditahan dipercayai ‘orang tengah’ dan penghantar dadah itu dengan menerima upah RM300 bagi setiap sekilogram bunga ganja yang berjaya dihantar ke Kuala Lumpur.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira jam 4.30 petang hasil rondaan bermotosikal dan risikan yang dijalankan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu di pangkalan haram Masjid Taqwa, Kampung Simpangan.
Menurut beliau, pasukan operasi terlebih dahulu mengesan sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz S500L dalam keadaan mencurigakan berhampiran Sungai Golok.
“Intipan mendapati seorang suspek mengambil satu bungkusan plastik lut sinar di tepi sungai sebelum meletakkannya di bahagian bonet hadapan kereta.
“Suspek kemudian bersama seorang lagi individu kembali semula ke tepi sungai untuk mengambil beberapa lagi bungkusan plastik sebelum dimasukkan ke dalam bonet belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggota PGA kemudian menahan ketiga-tiga suspek sebelum pemeriksaan lanjut menemukan lima bungkusan plastik lut sinar mengandungi ketulan daun kering disyaki bunga ganja seberat enam kilogram.
Tambahnya, sebanyak 1.3 kilogram (kg) bunga ganja ditemukan di bahagian hadapan kiri kenderaan manakala baki 4.7 kg lagi dijumpai di ruang bonet belakang.
“Nilai keseluruhan dadah dianggarkan RM480,000,” katanya.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku dadah tersebut berada dalam kawalan mereka dan ia merupakan kali pertama mereka mengambil bekalan di pangkalan haram berkenaan.
Menurut beliau, suspek wanita berusia 35 tahun dipercayai bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan pengedar dari Golok, Thailand dikenali sebagai ‘Abe’ dengan dua lagi suspek untuk membawa bekalan dadah ke Kuala Lumpur.
Katanya, dadah berkenaan dipercayai akan diserahkan kepada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Lee’ di ibu negara selepas penghantaran selesai dilakukan.
“Setiap suspek dijanjikan bayaran RM300 bagi setiap kilogram bunga ganja yang berjaya dihantar,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya turut merampas sebuah Mercedes Benz S500L bernilai RM150,000 serta beberapa barangan lain menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM630,100.
Katanya, semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.


