Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang berlangsung tiga hari

KERAJAAN negeri Pulau Pinang yakin dan berharap sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di negeri ini dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus mengukuhkan penghargaan terhadap peranan dan sumbangan pengamal media.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Komunikasi sejak dua hingga tiga bulan lalu bagi memastikan segala persiapan penganjuran acara berprestij itu berjalan lancar.

“Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena esok manakala Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena HAWANA 2026 bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib malam ini.

“Kerajaan negeri turut memberikan sumbangan bagi menjayakan penganjuran program ini dan kita berharap HAWANA tahun ini berlangsung dengan jayanya,” katanya kepada pemberita semalam.

Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu ini (esok), dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Mengangkat tema `Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’, HAWANA 2026 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.

Bersempena dengan sambutan itu, Karnival RIUH Pi HAWANA yang turut diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena bermula hari ini dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung.

GEGANTUNG sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di hadapan Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Ampang Jajar selama tiga hari bermula hari ini

Karnival RIUH Pi HAWANA menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman, selain menawarkan bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.

Pengunjung turut disajikan dengan 16 persembahan pentas membabitkan artis tempatan antaranya Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng, dengan kemasukan percuma.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img