Kerajaan ikhtiar bantu pengamal media hadapi cabaran AI, ekonomi – Fahmi

KERAJAAN melalui Kementerian Komunikasi sedang merangka pelbagai inisiatif bagi membantu pengamal media di negara ini mendepani cabaran semasa termasuk ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan ekonomi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini disambut dalam suasana kebanyakan petugas media berasa risau tentang pekerjaan serta masa masa depan mereka.

“Tahun ini kita menyambut Hari Wartawan dalam satu suasana dengan ramai yang mungkin risau tentang pekerjaan mereka, tentang masa depan mereka akibat daripada AI dan isu-isu ekonomi.

“Tetapi insya-Allah, di pihak kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, ada beberapa perkara yang sedang diikhtiarkan untuk membantu rakan-rakan dalam bidang media,” katanya dalam ucapan sempena sambutan HAWANA 2026 hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata, kewujudan media bebas dan beretika adalah tunjang utama kepada sistem demokrasi negara.

“Media yang bebas, media beretika sangat penting, bukan hanya untuk demokrasi negara kita, tetapi masa depan Malaysia,” katanya.

Mengangkat tema `Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’, kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang pada 20 Jun ini dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara sekali gus bertindak sebagai platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan dan jasa pengamal media serta wartawan veteran dalam pembangunan negara dan bangsa.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img