MALAYSIA dan Turkmenistan sepakat untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat di kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu diterjemahkan menerusi dokumen perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua negara sejurus selepas pertemuan dua hala antara beliau dan Presiden Serdar Berdimuhamedov di Istana Presiden di Ashgabat hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pihak menegaskan iltizam bersama untuk memastikan setiap kerjasama yang telah dimeterai dilaksanakan secara berdisiplin, telus dan berkesan.
“Mendoakan agar hubungan persahabatan yang terjalin kukuh antara Malaysia dan Turkmenistan akan terus mekar, diperkasakan dengan kepercayaan mendalam dan saling menghormati, insya-Allah,” katanya dalam sidang media bersama Malaysia-Turkmenistan, lapor Bernama.
Perdana Menteri dan Berdimuhamedov kemudiannya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi membincangkan secara lebih mendalam terkait hubungan serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkmenistan.
“Perbincangan kami merangkumi pelbagai sektor antaranya tenaga, perdagangan dan pelaburan, industri halal, perbankan Islam, pendidikan, penyelidikan, sains dan teknologi, pelancongan serta kesalinghubungan udara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pertukaran dokumen penting yang ditandatangani menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkmenistan, merentasi pelbagai bidang keutamaan negara.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran dokumen membabitkan tiga MoU dan satu perjanjian antara kedua-dua negara.
Dokumen berkenaan merangkumi Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Kerajaan Malaysia dan Turkmenistan serta MoU antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Malaysia dengan Institut Hubungan Antarabangsa di bawah Kementerian Luar Turkmenistan.
Dokumen lain adalah MoU antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Perkhidmatan Negara Turkmenistan serta MoU antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan.
Pada majlis berkenaan, Anwar dan Berdimuhamedov turut menandatangani kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkmenistan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Lawatan rasmi selama dua hari bermula 18 Jun itu merupakan kunjungan pertama Anwar ke Turkmenistan sejak dilantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022, atas jemputan Berdimuhamedov.






