MALAYSIA konsisten mempertahankan pendirian berkecuali dan bebas dalam dasar luarnya dengan memilih pendekatan kerjasama strategik termasuk membabitkan kuasa besar dunia demi kepentingan ekonomi serta masa depan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan tersebut membolehkan Malaysia berinteraksi secara seimbang dengan negara-negara di Timur dan Barat di samping mengekalkan kedaulatan dalam menentukan hala tuju negara.
“Kita telah melakukannya dengan Amerika Syarikat (AS), Presiden Donald Trump telah datang ke Malaysia mengadakan lawatan penting tahun lepas kemudian kita mengadakan lawatan bersama China, India dan baru-baru ini dengan Rusia.
“Itu mempamerkan kedudukan yang diambil Malaysia untuk memastikan kita melibatkan diri dengan semua negara dan mengekalkan kemerdekaan serta (pendirian) berkecuali kita di samping menyatakan pendirian kita dalam beberapa isu lebih kontroversi yang menjejaskan dunia.
“Malaysia kekal sebagai negara yang strategik dan ‘neutral’ (berkecuali) dengan negara kuasa besar dengan Iran, AS kita boleh lakukan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang MKS Instruments Inc (MKS) di Batu Kawan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia amat penting kerana perkara itu menjadi antara faktor utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.
Beliau berkata, AS masih merupakan antara rakan dagang dan pelabur utama Malaysia, selain peningkatan kepentingan ekonomi negara-negara lain seperti China, India dan beberapa negara di rantau ini.
“AS masih menjadi rakan nombor satu daripada segi pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia salah satu daripada beberapa negara yang beliau menari bersama, kita ‘menari’ dengan baik bersama-sama.
“Pada masa sama, kita menyaksikan peningkatan kepentingan negara serantau yang semakin berkembang seperti China, India, Jerman menerusi pelaburan besar Infineon selain pelabur seperti Nvidia dengan kebanyakan pelabur ini penting dalam memacu pertumbuhan ini,” katanya.
Perdana Menteri turut berpandangan pendekatan Malaysia mengutamakan persahabatan dengan negara luar serta hubungan diplomatik seimbang telah membantu meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap negara ini sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan.
Tambahnya, kehadiran syarikat-syarikat teknologi dan pembuatan global untuk mengembangkan operasi di negara ini membuktikan tahap keyakinan tinggi terhadap ekosistem pelaburan Malaysia dengan kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara menawarkan kemudahan terbaik dan insentif kompetitif.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan tidak pernah menganggap segala dasar yang dilaksanakan sudah sempurna sebaliknya sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pemain industri.
“Sebaliknya kami mahu bekerja sebagai satu pasukan bersama pelabur dan industri untuk menambah baik proses sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, selain menawarkan kemudahan dan insentif yang kompetitif, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan bakat tempatan serta keupayaan negara menyediakan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Katanya, kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pihak industri bagi menambah baik ekosistem pelaburan negara serta mempercepatkan proses pelaksanaan projek di negara ini.






