AGENSI Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA,MKN) menjelaskan perbincangan yang sedang tular di media sosial berhubung dakwaan kebocoran data peribadi adalah merujuk kepada maklumat yang dipercayai berasal daripada insiden-insiden yang telah dilaporkan sebelum tahun 2022.
Sehubungan itu agensi tersebut dalam kenyataan hari ini berkata, data itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana platform semasa seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
‘’Maklumat tersebut dipercayai diperoleh secara tidak sah melalui aktiviti pencerobohan terhadap pelbagai sistem yang berlaku sebelum tahun 2022 dan kini disebarkan semula melalui platform dalam talian tanpa kebenaran.
‘’NACSA menegaskan bahawa penyediaan, penyebaran, atau pemberian akses kepada maklumat yang diperoleh secara tidak sah merupakan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang Malaysia, walaupun perkhidmatan berkenaan dihoskan di luar negara,’’kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan berkenaan, NACSA bersama MyNIC dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah mengambil tindakan segera dan memperoleh kerjasama daripada penyedia perkhidmatan luar negara untuk menurunkan dan menyekat akses laman web berkenaan.
Pada masa sama, kata kenyataan itu, NACSA bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan forensik digital untuk mengenal pasti pihak yang terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan.
‘’Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan atau mendapatkan perkhidmatan yang menawarkan akses kepada maklumat yang diperoleh secara tidak sah ini, kerana ia menyumbang kepada penyebaran jenayah siber serta melanggar undang-undang negara.
‘’Insiden ini mengukuhkan lagi keperluan mendesak terhadap pengukuhan undang-undang negara. Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang akan dibentangkan di Parlimen memperkenalkan peruntukan yang lebih komprehensif serta hukuman yang lebih tegas terhadap pelbagai bentuk jenayah siber, termasuk pencerobohan sistem dan kecurian data,’’ kata kenyataan tersebut.
Dalam hal ini, kata NACSA, antara peruntukan yang digubal di dalam RUU Jenayah Siber menetapkan bahawa perbuatan masuk, merosakkan suatu program dalam sistem komputer tanpa kebenaran atau tujuan yang sah adalah satu kesalahan.
‘’Bukan itu sahaja, perbuatan mencuri identiti individu lain tanpa kebenaran dengan niat untuk melakukan jenayah juga merupakan satu kesalahan. Mana-mana pihak yang disabitkan dengan kesalahan-kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM500,000, dipenjara tidak melebihi tempoh 7 tahun, ataukedua-duanya sekali,’’ kata NACSA.
Menurut Agensi itu , Akta Keselamatan Siber 2024 yang telah berkuat kuasa sejak Ogos 2024 mewajibkan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) melaksanakan perlindungan menyeluruh, termasuk pematuhan kepada tata amalan, penilaian risiko, dan audit keselamatan berkala bagi meningkatkan daya tahan siber negara.
Kata NACSA, dalam memperkukuhkan ekosistem keselamatan siber negara, MyDigital ID yang kini merekodkan lebih 16 juta pendaftaran, memainkan peranan yang sangat penting.
‘’NACSA ingin menekankan bahawa MyDigital ID bukan merupakan sistem penyimpanan data peribadi. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai platform pengesahan identiti digital. Melalui pengesahan identity secara terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sistem ini membantu memastikan ketulenan identiti pengguna dilakukan dengan lebih selamat dan dipercayai bagi transaksi dan urusan digital,’’ kata NACSA.
Agensi itu juga memaklumkan, penggunaan MyDigital ID secara meluas dalam aplikasi kerajaan dan swasta termasuk sektor telekomunikasi dan perbankan akan terus memperkukuh keselamatan transaksi digital dan mencegah jenayah kecurian identiti.
‘’Keselamatan dan kepercayaan pengguna merupakan asas utama dalam pembangunan serta pelaksanaan platform digital negara. Dalam era kemajuan teknologi yang pesat, pendekatan berasaskan keselamatan siber sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati secara selamat oleh seluruh rakyat Malaysia.
‘’NACSA, MKN akan kekal bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan siber terhadap negara,’’ kata kenyataan tersebut.






