LANGKAH kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel menerusi Mykad bermula Julai ini dengan harga RM2.10 seliter adalah bagi memastikan ia dinikmati hanya oleh rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu mekanisme baharu itu juga dapat mengurangkan ketirisan serta aktiviti penyeludupan bahan api yang merugikan negara.
Kata beliau, menerusi pelaksanaan sistem berasaskan MyKad itu akan membolehkan rakyat menikmati harga diesel yang sama di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Maknanya kalau kita guna MyKad, harga sama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jadi, itu RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel.
“Kenapa MyKad? Sebab ketirisan dan penyeludupan di sempadan terlampau tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Bintulu, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan, penggunaan Mykad sebagai mekanisme pengesahan penerima subsidi akan membantu kerajaan menangani isu ketirisan yang selama ini berpunca daripada penyalahgunaan subsidi dan kegiatan penyeludupan rentas sempadan.
‘’ Langkah itu juga membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat,’’ katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bukan warganegara serta pihak yang tidak layak menerima subsidi, perlu membeli diesel pada harga pasaran semasa.
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pengurusan fiskal negara, di samping memastikan perbelanjaan subsidi dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh kumpulan sasar.






