Israel guna dron bunuh 10 rakyat Palestin termasuk wartawan  di Gaza

JURUKAMERA Palestin, Ahmad Washah, dibunuh semalam dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Kem Pelarian Al-Bureij di tengah Gaza, menurut agensi berita Anadolu.

Seorang lagi rakyat Palestin turut dibunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan yang sama.

Al Jazeera mengesahkan kematian Washah, menjadikan jumlah wartawan dan kakitangan rangkaian itu yang dibunuh oleh Israel di Gaza sejak Oktober 2023 meningkat kepada 12 orang.

Washah merupakan adik kepada Mohammed Washah, yang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kenderaannya di Jalan Pantai Al-Rashid, Bandar Gaza, pada April lalu.

Di Gaza City, Israel menggunakan dron untuk membunuh empat orang daripada sebuah keluarga selepas menyasarkan rumah mereka berhampiran Persimpangan Al-Tayaran.

Mangsa terdiri daripada seorang lelaki, isterinya dan dua anak perempuan mereka, menurut Anadolu.

Selain itu, seorang warga emas Palestin mati ditembak oleh  tentera laut Israel yang melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah yang menempatkan penduduk awam yang dipindahkan di kawasan Al-Amadi, barat Bandar Gaza.

Seorang lagi rakyat Palestin dibunuh manakala seorang wanita cedera dalam serangan dron berhampiran bulatan Al-Saftawi di utara Bandar Gaza.

Lima lagi rakyat Palestin cedera apabila sebuah dron Israel menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan Sheikh Radwan.

Di Beit Lahia, seorang wanita Palestin dibunuh akibat tembakan tentera Israel.

Di Khan Yunis, seorang rakyat Palestin dibunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan dron yang menyasarkan satu perhimpunan di barat bandar tersebut.

Dua kanak-kanak lelaki Palestin turut cedera akibat tembakan tentera Israel di timur Khan Yunis berhampiran bulatan Abu Hamid.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata telah menyebabkan 1,007 rakyat Palestin terbunuh dan 3,165 lagi cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Angka terkini yang dipetik oleh WAFA pada Ahad menunjukkan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sejak permulaan gencatan senjata telah meningkat kepada 1,021 orang, manakala 3,249 lagi cedera.

Sumber perubatan berkata hospital-hospital di seluruh Gaza menerima sembilan mayat dan 41 mangsa cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin menyatakan bahawa jumlah keseluruhan korban akibat perang Israel di Gaza telah meningkat kepada 73,032 rakyat Palestin terbunuh dan 173,357 cedera sejak Oktober 2023.

Pegawai turut memaklumkan bahawa sejumlah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan atau berada di kawasan yang sukar diakses, manakala pasukan penyelamat tidak dapat sampai ke lokasi berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img