SETIAUSAHA Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Datuk Dr. Puad Zarkashi keluar parti itu kerana anak bekas ADUN Rengit itu tidak dicalonkan di DUN tersebut pada PRN Johor 11 Julai ini.
Asyraf Wajdi mendakwa, Puad menulis surat panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon DUN Rengit.
‘’Benar, anaknya masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin. Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihanraya.
‘’Walau bagaimanapun adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti beliau mengugut parti untuk mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau di DUN Rengit.
‘’Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.
Asyraf Wajid berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah oleh Puad yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.
‘’Untuk rekod, ini bukan kali pertama beliau mengugut untuk keluar parti apabila tidak memenuhi kehendak beliau. Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO juga beliau pernah mengugut untuk keluar parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat,’’ dakwanya.
Sehubungan itu Asyraf Wajdi berkata, cukup-cukuplah UMNO ini diugut kerana UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin.
‘’Perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu. Parti ini telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama.
‘’Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. Bak kata pepatah Melayu, “air susu dibalas air tuba”, jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan,’’ katanya.
Beliau menegaskan, UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana individu.






