Banjir di Kedah: Balai Polis Langgar tidak dapat beroperasi sementara waktu, jumlah mangsa meningkat

Balai Polis Langgar, dekat sini tidak dapat beroperasi buat sementara waktu akibat banjir sejak semalam, kata Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah.

Beliau berkata Sistem Laporan Polis Bersepadu (IPRS) telah ditutup sementara kerana balai berkenaan digenangi air dan orang ramai boleh membuat laporan di balai polis lain yang berdekatan.

“Air naik secara mendadak akibat hujan lebat semalam dan pada 6 petang, air telah memenuhi kawasan balai dengan dianggarkan kedalaman air di dalam balai kira-kira 0.13 meter,” katanya kepada Bernama hari ini.

Adzli berkata selain terletak di kawasan rendah, kejadian berkenaan turut berpunca akibat masalah parit tersumbat dengan rumput serta sampah dan pihaknya telah menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan pembersihan di hadapan balai.

Sementara itu, beliau berkata segala dokumen dan aset penting tidak terjejas dalam kejadian itu kerana telah dipindahkan ke tempat yang selamat.

“Di balai ini juga ada 10 unit berek dengan hanya lima unit di tingkat bawah dinaiki air sedikit tetapi mereka yang menetap di situ tidak berpindah,” katanya.

Petang tadi, Adzli meninjau keadaan Balai Polis Langgar yang ditenggelami banjir, selain menyantuni pegawai dan anggota yang bertugas di situ.

Sementara itu, Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata sebuah PPS baharu dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, Alor Setar, namun jumlah mangsa dan keluarga yang ditempatkan masih dalam proses bancian.

Di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena, beliau berkata jumlah mangsa meningkat kepada 109 orang daripada 33 keluarga berbanding 100 orang daripada 30 keluarga, pagi tadi.

“Satu sungai berada pada tahap amaran, iaitu Sungai Kedah di Jabatan Lebuhraya, Kota Setar pada paras 1.84 meter berbanding paras yang ditetapkan 1.8 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini, cuaca di Kedah cerah tanpa hujan, namun kejadian banjir dipercayai berpunca daripada aliran air dari Pokok Sena ke Pekan Langgar.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img