25,000 bakal menerima manfaat Bakat MADANI – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 25,000 individu akan berpeluang mengikuti pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti dan mobiliti sosial yang lebih baik menerusi inisiatif Bakat MADANI yang dilancarkan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif itu adalah ikhtiar nasional yang menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Petronas dalam memperkasakan pembangunan bakat negara.

Beliau berkata, inisiatif Bakat MADANI memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan Petronas selain memperluas peluang penempatan pekerjaan merentas sektor strategik negara.

Jelasnya, ia termasuk memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama erat dengan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

“Pendedahan peluang dalam program ini mencecah 25,000 orang. Jadi anak-anak jangan lupa, nyatakan penghargaan kepada badan korporat yang sudi membantu menguruskan dengan baik.

“Kalau mereka tidak mengurus dengan baik, jadi tidak dapat program ini dilakukan kerana pembiayaan itu dibiayai mereka, bukan pembiayaan saya. Ini yang disebut Bakat MADANI,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Bakat MADANI di Seremban hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Perdana Menteri berkata, berteraskan prinsip modal ihsan, Bakat MADANI turut memperluas akses kepada latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan, termasuk isi rumah B40, asnaf, individu yang memerlukan peluang kedua serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya.

“Tumpuan diberikan kepada sektor-sektor bernilai tinggi dan berpotensi besar seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju.

“Bagi menggalakkan penyertaan industri secara lebih meluas dalam penyediaan latihan dan peluang pekerjaan berkualiti, kerajaan akan memperkenalkan potongan cukai istimewa kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah Inisiatif Bakat MADANI.

“Insentif baharu ini merupakan penambahbaikan kepada insentif kebolehpasaran sedia ada, dengan liputan yang diperluas kepada lepasan TVET serta peningkatan kadar elaun minimum bagi memastikan pelatih menerima ganjaran yang lebih adil dan kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan mengenai kepentingan kestabilan politik dan keadilan sosial yang dapat memastikan negara dipacu dengan baik dan rakyat menikmati keselesaan.

Beliau berkata, apabila kerajaan melabur dalam pembangunan rakyat, ia turut memperkukuh asas ekonomi negara.

“Mengangkat taraf kehidupan rakyat dan meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi merupakan satu kitaran yang saling memperkukuh antara satu sama lain.

“Keadilan sosial boleh tercapai dengan kemudahan dan akses yang sama diberikan kepada semua golongan rakyat. Ini fokus utama kerajaan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img