KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkorban dalam insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Wilayah Narathiwat, Thailand hari ini.
Kementerian itu memaklumkan insiden tersebut menyebabkan sebuah kenderaan milik warga Malaysia dilaporkan terjejas kira-kira jam 11.45 pagi waktu tempatan dan sedang dipantau rapi menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Konsulat Jeneral sedang berhubung aktif dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengumpul maklumat sahih serta menyalurkan sebarang bantuan konsular yang sewajarnya kepada pihak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan dua rakyat Malaysia cedera akibat terkena letupan bom ketika menaiki sebuah kenderaan di Ban Praiwan, Takbai di Narathiwat pagi ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dari Kelantan dan Muhammad Yusri Udin, 38, berasal dari Sabah.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, Abdullah Syarapi mengalami kecederaan akibat serpihan bom di bahagian dahi, kecederaan serius pada kaki kiri dan kecederaan di kepala, manakala Muhammad pula hanya cedera ringan.
Dalam pada itu, Kementerian Luar turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di wilayah selatan Thailand supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular dengan lebih pantas, rakyat Malaysia turut digesa mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing menerusi portal e-Konsular (https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya.
Untuk bantuan konsular segera atau kecemasan, warga Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla secara terus menerusi aplikasi WhatsApp + (6674) 316 274 / + (6681) 990 1930 / + (6674) 324 004 / + (6674) 312 353 atau emel kan kepada mwsongkhla@kln.gov.my.






