ANALISIS
Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan hari ini sekaligus memberi laluan untuk satu Pilihan Raya Negeri Ke- 17 (PRN17).
Pembubaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu,Kota Kinabalu pada 2.54 petang hari ini.
Beliau berkata pengumuman berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Kedudukan jumlah kerusi Ahli Dewan Undangan (ADUN) terkini sebelum pembubaran DUN menyaksikan GRS mengetuai blok kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) dan tiga lagi ADUN BN yang menyokong pentadbiran kerajaan negeri itu dengan jumlah 53 kerusi termasuk empat ADUN dilantik.
Di blok pembangkang diketuai parti Warisan bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan jumlah 22 kerusi termasuk dua ADUN dilantik.
Pembubaran DUN itu dikatakan dilakukan ketika kebanyakan parti masih belum bersedia sepenuhnya dalam menghadapi PRN terutama dari segi pembahagian kerusi, calon dan lain-lain.
Namun apa yang lebih menarik untuk diperkatakan apakah PRN Sabah akan menyaksikan rakyat negeri itu akan ‘terperdaya’ sekali lagi apabila sokong parti sendiri, mengundi parti sendiri tetapi apabila kerajaan ditubuhkan mereka terkedu kerana ‘’parti yang mereka tidak suka’ turut sama menjadi kerajaan.
Walaupun berasa tertipu tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa, terpaksa redha dengan percaturan yang dilakukan oleh elit-elit politik atas alasan demi kestabilan politik. Soalnya adakah senario itu akan berulang?
Untuk rekod DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Parti Warisan pula meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan PAS.
Bagaimanapun, pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu telah bertindak keluar daripada parti tersebut seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum Bersatu kemudiannya digugurkan daripada GRS.
Pada Januari 2023, BN telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS namun PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri seterusnya mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Khamis lepas Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan memaklumkan STAR serta SAPP akan bertanding secara berasingan pada PRN Sabah ke-17, dengan menggunakan logo parti masing-masing.
Tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti terbabit tidak lagi dianggap sebahagian daripada GRS, berikutan keputusan Majlis Tertinggi yang menetapkan bahawa mana-mana parti komponen bertanding menggunakan logo sendiri akan terkeluar daripada gabungan.
Pada PRN kali ini, rakyat Sabah akan berhadapan dengan satu situasi dianggap rumit apabila dua gabungan besar yang memerintah Kerajaan Pusat iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau UMNO tidak bersama dalam satu kerjasama.
Ia berikutan tindakan GRS diketuai Hajiji membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan PH tetapi pada masa sama BN-UMNO pula menolak berkerjasama dengan GRS.
Walaupun keadaan itu dilihat ‘memeningkan’ rakyat, namun penulis melihat ia sebagai langkah ‘politik tetap untung’. Ketiga-tiga parti itu sudah buat ‘aku janji’ tidak akan bertembung sesama sendiri tetapi setakat ini ia melibatkan GRS-PH, PH-BN manakala GRS-BN tiada apa-apa perjanjian
Maknanya, jika berlaku pertembungan antara GRS-BN dan salah satunya menang, PH tetap untung kerana kedua-dua parti adalah sekutunya. Selain itu, sebagai peneraju utama kerajaan pusat, sudah pasti PH boleh berjanji di kawasan-kawasan yang ditandingi BN dan GRS, Kerajaan Pusat akan memastikan mereka mendapat nikmat dengan mengundi salah satu daripada parti itu.
Kedudukan terkini, GRS dianggotai Gagasan Rakyat, PBS,USNO, LDP, Harapan Rakyat serta Parti Cinta Sabah PCS dan gabungan itu mempunyai 42 kerusi DUN.
Sementara itu, Parti Warisan menguasai 14 kerusi, BN (12), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (2) dan Pas (1).
Berikutan keadaan itu, ramai tertanya-tanya apakah bentuk gabungan yang akan berlaku dan bagaimana mereka mahu bekerjasama? Namun pada masa sama kita perlu ingat apa yang berlaku selepas PRU-15.
Ia menyaksikan kewujudan gabungan parti-parti yang sebelum PRU, begitu hebat sekali kata mengata dan memburuk-burukkan antara satu sama lain tetapi apabila pilihan raya berakhir, mereka ‘disatukan’ atas alasan demi kestabilan dan memastikan agenda untuk rakyat tidak terjejas.
Justeru terpulang kepada rakyat untuk membuat perhitungan dan keputusan, tetapi apa yang penting, mereka harus memastikan parti yang dipilih itu dipimpin oleh pemimpin berintegriti dan mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Anggaplah sahaja senario ‘ sokong orang lain, undi orang lain, dapat orang lain’ – lumrah baru dalam pilihan raya di Malaysia, ia bukan sahaja akan berlaku dalam PRN Sabah tetapi juga PRU-16 akan datang. Tidak percaya? Tunggu saja…


