SEORANG lelaki melecur hampir 70 peratus di badan ketika cuba memadam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Padang Perahu, di Jitra petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, panggilan berhubung kebakaran itu diterima pada jam 6.32 petang.
Beliau mengetuai operasi pemadaman itu bersama sepasukan anggota dari BBP Jitra ke lokasi kejadian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah rumah dan api sedang marak.
“Terdapat seorang mangsa melecur dalam kejadian itu. Kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas B dua tingkat yang musnah dalam kejadian itu, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azhar berkata, komander operasi memaklumkan kerja pemadaman dilakukan menggunakan sumber air dari tangki jentera dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal di lokasi kejadian oleh pasukan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Jitra sebelum dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi masih berjalan ketika ini dengan bantuan PBS Tunjang dan Kodiang,” katanya.






