POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook susulan hantaran gambar yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, hantaran yang dimuat naik pada 25 April lalu itu kini dipantau rapi pihak berkuasa.
Menurutnya, identiti pemilik atau pentadbir akaun berkenaan sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang dijalankan.
“Siasatan terhadap individu berkenaan termasuk merampas peranti yang digunakan bagi membuat hantaran oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Sehingga kini, polis menerima sebanyak 21 laporan dari seluruh negara berkaitan isu sama. Seramai 21 saksi, termasuk individu yang tampil membuat laporan, telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika sabit kesalahan, perbuatan menghasut boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan pula, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, manakala penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Tambahnya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial terutama melibatkan isu sensitif agama, raja dan kaum (3R).
Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk di Selangor menggesa tindakan tegas diambil berhubung penularan suntingan gambar khinzir dengan pakaian istiadat istana yang dikaitkan dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penaung Penasihat Persatuan Anak Kampung Seri Cheeding, Datuk Mohd Irwan Wiji berkata, sebagai anak jati negeri itu, isu berkenaan menimbulkan rasa tidak senang, marah dan tidak hormat dalam kalangan rakyat.
“Paparan gambar itu telah menjatuhkan martabat Istana Selangor.
“Terdapat pihak tertentu yang dipercayai telah mengeluarkan kenyataan beserta gambar tidak senonoh melibatkan Sultan Selangor serta melakukan tindakan yang dilihat mencabar dan tidak menghormati institusi Kesultanan Selangor,” katanya.
Beliau berkata, perbuatan itu amat dikesali kerana institusi diraja merupakan lambang kedaulatan negeri dan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang.


