BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki bersama satu liter air ketum yang ketika itu dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan di Kelantan, dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu, dekat Tanah Merah semalam.
Kedua-dua suspek berusia 20 dan 29 tahun itu ditahan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 10.30 malam.
Penahanan dibuat selepas pihak berkuasa menemukan cecair kehijauan disyaki air ketum dengan anggaran satu liter bernilai kira-kira RM30 dalam kenderaan dinaiki mereka.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggotanya menahan Perodua Aruz dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan menemukan satu beg warna hitam dan satu botol hijau berisi cecair kehijauan disyaki air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek memaklumkan tujuan ke Kelantan adalah untuk menghadiri majlis perkahwinan dan kereta yang dinaiki mereka dipinjam daripada abang lelaki berusia 29 tahun itu.






