Hampir 200,000 pemilik jip, pikap terima tambahan 100 liter BUDI Diesel – Amir Hamzah

HAMPIR 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip telah diluluskan tambahan 100 liter sebulan di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) sehingga semalam, menjadikan jumlah had kelayakan mereka sebanyak 300 liter sebulan bermula bulan Julai ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah ini merangkumi lebih 174,000 warganegara di Semenanjung Malaysia dan lebih 22,000 warganegara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

DATUK Seri Amir Hamzah Azizan

Menurut beliau, kemudahan tambahan ini disediakan dengan mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip, termasuk untuk kegunaan perniagaan kecil dan sederhana serta pergerakan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kerajaan memahami bahawa bagi pemilik pikap dan jip diesel, kenderaan ini bukan sekadar untuk perjalanan harian, tetapi turut digunakan bagi mencari rezeki dan mengurus keperluan keluarga. Sebab itu, kemudahan tambahan 100 liter ini disediakan.

“Harapan kita, kemudahan tambahan ini dapat membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut meneliti maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel milik ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.

Menurutnya, bagi kenderaan diesel persendirian individu yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar, penerima asal BUDI Diesel boleh membuat permohonan pemindahan kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.

Sebagai alternatif, tambah Amir Hamzah, pengguna sebenar kenderaan diesel juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kerajaan telah melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai 2026 bagi memudahkan urusan tersebut.

“Penambahbaikan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat, supaya manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan,” kata beliau.

Pemilik pikap dan jip diesel yang ingin memohon penambahan 100 liter sebulan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel, boleh berbuat demikian melalui portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my. Portal ini turut menyediakan soalan lazim berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel.

Setakat semalam, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui portal tersebut.

Pelaksanaan BUDI Diesel menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan. Mekanisme ini memastikan subsidi diesel disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

Sejak pelaksanaan akses awal BUDI Diesel pada 27 Jun 2026 hingga 4 Julai 2026, lebih 336,000 transaksi diesel telah direkodkan. Ini melibatkan pembelian 12.6 juta liter diesel bersubsidi, dengan lebih RM23 juta subsidi ditanggung oleh Kerajaan MADANI.

Jualan ini merangkumi pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter semasa akses awal dan RM2.10 seliter sejak pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai lalu.

“Subsidi bersasar merupakan manfaat Kerajaan untuk rakyat Malaysia yang layak. Pada masa yang sama, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan bantuan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak,” kata Amir Hamzah.

Tambah beliau, pelaksanaan BUDI Diesel bukan bertujuan menafikan bantuan kepada rakyat yang layak, sebaliknya memastikan subsidi Kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar sambil menutup ruang ketirisan dan penyeludupan yang telah merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun.

Kerajaan MADANI katanya, akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan meneliti maklum balas rakyat serta industri bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan dapat terus dikekang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img