10,000 pengguna manfaatkan BUDI Diesel pada hari pertama

SEBANYAK 10,000 pengguna memanfaatkan akses awal pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di Semenanjung yang bermula semalam, tanpa sebarang isu dilaporkan sepanjang hari pertama pelaksanaannya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, akses awal itu dibuka selama empat hari sebelum pelaksanaan penuh skim berkenaan bermula Rabu ini.

Menurutnya, pelaksanaan BUDI Diesel kali ini turut memperkenalkan mekanisme lebih fleksibel apabila pemilik kenderaan dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga yang menjadi pengguna sebenar kenderaan.

“Seramai 10,000 pengguna telah memanfaatkan fasa akses awal yang dimulakan untuk pengguna di Semenanjung hari ini (semalam) sebelum pelaksanaan penuh merangkumi peniaga kecil serta pemilik pikap dan jip persendirian milik syarikat.

“Ia lebih fleksibel apabila pemilik kenderaan boleh memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga yang menggunakan kenderaan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan produk pelancongan ATV Safari di Langkawi petang semalam.

Amir Hamzah berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan susulan maklum balas diterima daripada rakyat, khususnya pengguna di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kita mengambil maklum keadaan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang menyaksikan ada kalanya anak membeli diesel bagi pihak ibu atau bapa, sedangkan mereka bukan pengguna sebenar kenderaan itu.

“Justeru, sistem baharu ini memberi ruang kepada pemilik kenderaan memindahkan kuota diesel bersubsidi kepada ahli keluarga yang benar-benar menggunakan kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, pemilik kenderaan boleh mengemas kini maklumat berkenaan menerusi portal rasmi BUDI MADANI Diesel.

Media sebelum ini melaporkan akses awal BUDI Diesel bermula semalam di Semenanjung dengan pengguna menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bagi kuota fleksibel sehingga 200 liter, sebelum kadar itu diselaraskan kepada RM2.10 seliter mulai Rabu ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img