SERAMAI 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Pasar Malam Taman Maluri, Cheras, selepas lokasi itu dikesan menjadi tumpuan warga asing yang dipercayai bekerja dan menetap di sekitar ibu negara.
Operasi menerusi Op Kutip itu turut menyaksikan suasana bertukar kecoh apabila ratusan warga asing bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa yang menyamar sebagai pengunjung.
Serbuan hasil risikan selama dua minggu itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur serta Putrajaya dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tepat jam 6 petang, beberapa kenderaan utiliti sukan (SUV) mengepung laluan masuk ke pasar malam berkenaan sebelum anggota yang menyamar terus bertindak menahan individu disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, seramai 500 individu diperiksa sepanjang operasi itu membabitkan 407 warga asing dan 93 warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 200 warga asing ditahan terdiri daripada 125 lelaki dan 75 wanita warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, China, Pakistan serta India.
“Lokasi ini menjadi sasaran berdasarkan aduan yang diterima daripada masyarakat setempat. Kebanyakan warga asing didapati membanjiri kawasan ini,” katanya pada sidang media di lokasi, semalam, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas, melanggar syarat pas serta kesalahan lain mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa DBKL, Mohd Muzzamer Jamaluddin berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan di pasar malam berkenaan dan mendapati kebanyakan warga asing hadir sebagai pengunjung.
Mengulas lanjut, Hamsha berkata, JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh ibu negara bagi memastikan warga asing yang melanggar undang-undang tidak terlepas daripada tindakan.
Katanya, selain Pasar Malam Taman Maluri, pihaknya turut memberi tumpuan kepada pasar malam lain yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan warga asing di sekitar Kuala Lumpur.





