OPERASI penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perlis di tiga lokasi berasingan membawa kepada penahanan empat warga Indonesia yang dipercayai berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan atau pas sah.
JIM Negeri Perlis dalam kenyataan memaklumkan, operasi menerusi Ops Kutip, Ops Dandan dan Ops Selera dijalankan di daerah Kuala Perlis, Simpang Empat dan Kangar bagi mengesan serta membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi termasuk kawasan kaunter penjualan tiket Feri Kuala Perlis–Langkawi, sebuah kedai gunting rambut dan premis makanan.
“Hasil operasi mendapati seramai 16 individu diperiksa membabitkan warganegara Malaysia, Indonesia, Iran dan Iraq.
“Daripada jumlah itu, empat warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.
JIM memaklumkan, kesalahan berkenaan membabitkan kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.
Dalam operasi sama, seorang warganegara Malaysia turut diberikan Borang 29 bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut JIM, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat di lokasi strategik seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.





