JPJ sita 54 kenderaan ‘ulat’ dalam operasi khas di KLIA

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 54 kenderaan yang didapati menjalankan kegiatan pengangkutan haram atau ‘ulat’ dalam Operasi Khas Banteras Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 yang dilaksanakan dari 12 hingga 26 Jun lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan sindiket ‘ulat’ yang menyasarkan pelancong di balai ketibaan lapangan terbang.

Menurutnya, sepanjang tempoh dua minggu operasi itu, sebanyak 59 kenderaan diperiksa dan 54 daripadanya dikenakan tindakan serta disita.

“Daripada jumlah itu, 27 adalah kenderaan persendirian, dua kenderaan syarikat, sembilan teksi dan 16 kenderaan e-hailing.

“JPJ turut mengeluarkan 76 notis, masing-masing 70 kepada warga tempatan dan enam kepada warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya pada sidang media di Terminal 2 KLIA, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan ‘ulat’ dikesan menyasarkan pelancong yang baru tiba di balai ketibaan dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan tanpa permit pada kadar tambang jauh lebih tinggi daripada kadar sebenar.

Menurutnya, sebelum ini terdapat kes membabitkan seorang pelancong dari China yang pada mulanya bersetuju membayar RM60 bagi perjalanan dari KLIA Terminal 2 ke Kuala Lumpur, namun akhirnya dipaksa membayar RM836 sebaik tiba di destinasi.

“Mangsa turut mendakwa diugut dan tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan sekiranya enggan membuat bayaran,” katanya.

Aedy Fadly berkata, JPJ memandang serius kegiatan berkenaan kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan imej negara, menjejaskan industri pengangkutan awam berlesen serta memberi pengalaman buruk kepada pelancong, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Mana-mana kenderaan yang digunakan untuk menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa permit atau melanggar syarat permit akan disita mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“JPJ juga akan memohon perintah pelucuthakan terhadap kenderaan yang digunakan untuk kegiatan haram itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, JPJ sudah memeriksa 151 kenderaan, mengambil tindakan terhadap 131 kenderaan dan menyita 133 kenderaan yang dikaitkan dengan kegiatan ‘ulat’.

“JPJ akan meningkatkan rondaan di KLIA dengan menambah anggota penguat kuasa yang ditempatkan secara tetap di Terminal 1 dan Terminal 2 bagi memastikan kegiatan ‘ulat’ dapat dibanteras secara berterusan.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mengambil kesempatan terhadap pelancong dan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img