Kes dua sepupu hilang: Suspek utama bakal didakwa

SUSPEK utama dalam kes kehilangan dua sepupu remaja dari Kok Lanas bulan lalu dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat selepas polis melengkapkan siasatan terhadap lelaki terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan terhadap suspek utama telah selesai manakala empat lagi individu yang ditahan sepanjang siasatan sebelum ini dibebaskan dan akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Beliau berkata, mereka dipercayai mempunyai peranan membantu suspek, termasuk membenarkan penggunaan kenderaan, mengambil gambar serta berada di lokasi kejadian.

“Sebahagian daripada mereka terbabit kerana membenarkan suspek menggunakan kenderaan, mengambil gambar serta melihat kejadian.

“Peranan mereka dikategorikan sebagai bersubahat, namun mereka akan dipanggil sebagai saksi dalam kes ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja perempuan itu bukan diculik, sebaliknya mengikut suspek secara sukarela selepas berkenalan menerusi media sosial.

“Motifnya seperti kebanyakan kes membabitkan remaja bawah umur.

“Mereka berkenalan melalui media sosial dan bersetuju mengikut individu yang hanya ditemui buat kali pertama.

“Ini bukan kes culik seperti yang disangka pada peringkat awal,” katanya.

Pada 24 Jun lalu, polis mengumumkan kes berkenaan berjaya diselesaikan susulan penahanan lima suspek selepas dua remaja terbabit ditemui selamat di sebuah inap desa di Machang.

Siasatan mendapati kedua-dua sepupu berusia 15 dan 16 tahun itu meninggalkan rumah secara sukarela bersama dua lelaki yang dikenali menerusi media sosial.

Mereka dilaporkan mengatur pertemuan dengan kedua-dua lelaki terbabit di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu sebelum dibawa ke Machang dan menginap di sebuah inap desa.

Kedua-dua mangsa sebelum itu dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu selepas keluar dari rumah masing-masing di Kampung Baloh, Kok Lanas, sebelum ditemui selamat dua hari kemudian hasil operasi pencarian yang dijalankan polis dengan bantuan orang ramai.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img