SUSPEK yang dipercayai menikam leher rakan wanitanya di dalam kereta di Titi Gajah, Kepala Batas, Aor Setar, 17 Mei lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali mengesahkan perkara itu dan memaklumkan suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam itu, mangsa wanita berusia 35 tahun cedera selepas dipercayai ditikam rakan lelakinya di dalam kereta di hadapan sebuah restoran.
Suspek bagaimanapun melarikan diri sejurus kejadian sebelum berjaya ditahan polis kira-kira empat jam kemudian.
Pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui keesokan harinya di kawasan sawah berhampiran lokasi kejadian.
Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, kejadian dipercayai bermotifkan cemburu atau cinta tidak berbalas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Dalam pada itu, mangsa yang juga seorang ibu tunggal dilaporkan menjalani pembedahan hampir 10 jam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan kini berada dalam keadaan stabil.


