Dua beradik antara empat didakwa kendali rumah judi

EMPAT individu termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas pertuduhan menguruskan sebuah pusat operasi judi dalam talian di Taman Kampung Raja, April lalu.

Kesemua tertuduh, Eow Yao Ping, 25, Eow Yong Huang, 30, Tan Yan Zhong, 25, dan Cheng Chean Seng, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan niat yang sama menguruskan sebuah rumah judi terbuka yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 4.20 petang hingga 6 petang di Taman Kampung Raja pada 7 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta dipenjara sehingga tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adlin Saffiya Kamaruzaman, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan semua tertuduh akan memberi kerjasama dan tiada halangan untuk hadir ke mahkamah sepanjang prosiding.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Ogos depan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img