SEORANG penganggur warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan membunuh bekas isterinya di hadapan sebuah blok kondominium di Setapak, bulan lalu.
Tertuduh, Aung Tun Ngwa, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Aung didakwa membunuh bekas isterinya, Merry Yet Ngwa, 33, di hadapan Blok 1, Kondominium Genting Court, Taman Setapak Indah Jaya, pada jam 2.30 petang, 23 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor M Naresh Kumar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dilaporkan berkata, mangsa maut dipercayai akibat ditikam oleh bekas suaminya, dengan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah kecederaan tikaman di bahagian dada.


