Solat Jumaat di Musolla IOI City Mall dibenarkan sejak September 2024

KEBENARAN mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall di Putrajaya sudah diberikan bermula 6 September 2024 atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, kebenaran solat Jumaat itu diputuskan oleh MAIS melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) setelah mendapat perkenan Tuanku.

“MAIS mengambil maklum pelbagai respon ditimbulkan berhubung pelaksanaan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya susulan kenyataan media MAIS bertajuk Ketetapan Berhubung Kebenaran Solat Jumaat di Surau/Musolla Pusat Beli-belah di Negeri Selangor’ yang dikeluarkan pada 8 Julai lalu.

“MAIS sekali lagi menegaskan bahawa kebenaran solat Jumaat yang diberikan kepada Musolla IOI City Mall tersebut adalah bersifat sementara.

“Kebenaran itu akan terhenti jika masjid baharu berhampiran premis berkenaan dibina dan mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di premis tersebut untuk solat Jumaat.

“Musolla berkenaan berada dalam kompleks beli-belah IOI City Mall, Putrajaya di daerah Sepang yang berada dalam pengawasan dan pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kebenaran diberikan atas faktor-faktor termasuklah umat Islam di situ berdepan kesukaran dengan lokasi masjid yang jauh.

“Masjid yang terdekat dengan premis berkenaan adalah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda kira-kira 7.6 kilometer dan Masjid UNITEN, Kajang, 7.7 kilometer,” katanya.

Di samping itu katanya, kedua-dua masjid berkenaan juga tidak mampu menampung jumlah ahli jemaah yang ramai ketika mendirikan solat Jumaat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img